Dari segi apa kadar baru ini akan sesuatu yang memuaskan ye? Harga akan turun? Atau diskaun yang diberikan untuk perjalanan malam? Sukar untuk kita meneka. Memang menjadi lumrah, syarikat yang berorientasikan perniagaan mestilah nak untung dan tidak mahu rugi. Maka, kita sebagai pengguna, tak perlu lah berharap sangat tentang kadar tol yang memuaskan ini. Tapi kalau bagus, apa salahnya kan hehe. Pada pemikiran aku, lebih baik PLUS pergi baiki dia punye road design sebab ada banyak masalah. Hentikanlah kerja dok menurap jalan yang cantik. Perhabis duit rakyat je. :p

Kerajaan melalui agensi berkaitan kini dalam peringkat akhir melakukan kajian menstrukturkan semula pakej baru kadar tol lebuh raya yang munasabah dengan kualiti perkhidmatan. Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kadar baru itu akan mengambil kira mutu perkhidmatan sama ada ia memuaskan hati orang ramai atau sebaliknya, termasuk memastikan kurang kesesakan dan tahap kualiti yang tinggi.
“Menteri Kerja Raya (Datuk Shaziman Abu Mansor) menasihatkan saya supaya tunggu dulu (mengenai pengumuman kadar baru) kerana kita kini pada peringkat akhir melakukan kajian terhadap pakej menstruktur semula kadar tol. Bila saya umumkan (kadar baru itu) nanti, ia akan berdasarkan kepada prinsip memberi kepuasan kepada pelanggan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan ibu pejabat baru PLUS Expressways Berhad (PLUS) yang dinamakan Persada PLUS di sini, hari ini. Turut hadir ialah isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor; Shaziman dan Pengerusi PLUS, Tan Sri Mohd. Sheriff Mohd. Kassim. Dalam pada itu, Najib berharap, PLUS terus menyediakan kemudahan lebuh raya yang selesa dan bermutu kepada pengguna termasuk menambah bilangan lorong. Beliau membayangkan kos penambahan lorong-lorong baru itu mungkin boleh dikongsi antara syarikat pemegang konsesi dan kerajaan untuk manfaat pengguna.
“Kalau ada laluan sesak, cepat-cepatlah tambah lorong. Soal kos (mungkin) boleh berunding dengan kerajaan. Kita boleh tengok (bagaimana keadaannya). Mungkin boleh diamalkan prinsip berkongsi kos untuk menambah lorong baru tersebut. (Dengan penambahan lorong baru itu), kalau kadar tol dinaikkan sedikit, orang tidak akan marah sebab perjalanan akan menjadi bertambah lancar dan tiada kesesakan,” katanya.
Menurut Najib, syarikat dan badan kerajaan lain yang banyak berhubung dengan orang ramai juga harus mencontohi PLUS yang meletakkan standard tinggi terhadap kemudahan termasuk menyediakan tandas yang bersih.
“Isteri saya juga minta saya sebut kejayaan kaum wanita di PLUS. Banyak jawatan penting dipegang oleh kaum wanita dan orang lelaki hanya jaga secara keseluruhan sahaja,” ujarnya berseloroh.
Selepas majlis itu, Rosmah turut meluangkan masa merasmikan Pusat Pembangunan Kanak-Kanak PLUS yang terletak dalam kawasan ibu pejabat syarikat itu. Penubuhan pusat itu adalah untuk membolehkan anak-anak kakitangan syarikat berkenaan mendapat pendidikan pada usia muda antara tiga hingga enam tahun. Sementara itu, Shaziman yang ditemui selepas majlis itu berkata, kadar baru tol itu kini sedang dikaji oleh Unit Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Unit Perancang Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Ia masih dibincang di bawah UKAS dan kita (Kementerian Kerja Raya) akan memberi input. Sabar-sabar sikit. Bila telah siap kita akan maklumkan,” ujarnya.
Sumber Berita: Utusan Malaysia Online
Komen Terbaru